Portulaca

 
Dalam post kali ini, saya akan menulis berkenaan genus Portulaca dari famili Portulacaceae. Secara umum, semua spesies tumbuhan dari genus ini lebih dikenali dengan nama panggilan Rose Moss/Moss Roses atau pokok matahari (sun plant) walaupun masing-masing sebenarnya mempunyai nama dan sifatnya yang tersendiri. Dengan keindahan bunganya pelbagai warna yang terdiri daripada merah, kuning, merah jambu, putih, jingga atau ungu, ramai penggiat seni taman menjadikan Portulaca sebagai titik fokal kediaman.

Portulaca adalah tumbuhan sukulen(berkebolehan menyimpan air) sebagaimana kaktus. Maka ia memerlukan persekitaran panas dan tanah yang tidak sentiasa basah untuk hidup subur dan berbunga. Tanaman tutup bumi ini mengeluarkan bunga sepanjang tahun dan boleh membesar antara 4-8inci tinggi sebarannya di tanah sepanjang 2kaki. Secara keseluruhannya, dianggarkan terdapat kira-kira 40-100 spesies yang boleh ditemui di negara-negara bersuhu panas atau beriklim tropika. Antara spesies terkenal yang biasa ditanam ialah Portulaca grandiflora, Portulaca oleraceae, Portulaca All Aglow, Portulaca intraterranea, Portulaca sedifolia, Portulaca bicolor dan Portulaca halimoides.
 
PORTULACA ALL AGLOW HIBRID
PORTULACA GRANDIFLORA
 Sesetengah tempat menganggapnya sebagai rumpai, manakala yang lain menjadikannya sebagai salah satu bahan masakan, sayuran, malah diekstrak minyaknya untuk penghasilan barangan kosmetik terutamanya bagi spesies Portulaca oleraceae atau nama lainnya Purslane. Disebabkan karakter Moss Roses yang memerlukan persekitaran panas untuk tumbuh subur, maka ia sangatlah elok ditanam di 'rock garden', sepanjang laluan pejalan kaki, petak penanaman, berhampiran tempat parkir kereta dan lain-lain yang sesuai. Moss Roses boleh dibiakkan sama ada dengan biji benih atau menggunakan keratan batangnya yang dipatahkan untuk terus ditanam.
Portulaca grandiflora ditanam dalam kelompok besar
PORTULACA OLERACEAE
Portulaca oleraceae dalam hidangan Greek Salad

Portulaca oleraceae/Purslane dimasak sebagai sayuran