Showing posts with label Groundcover. Show all posts
Showing posts with label Groundcover. Show all posts

Portulaca

 
Dalam post kali ini, saya akan menulis berkenaan genus Portulaca dari famili Portulacaceae. Secara umum, semua spesies tumbuhan dari genus ini lebih dikenali dengan nama panggilan Rose Moss/Moss Roses atau pokok matahari (sun plant) walaupun masing-masing sebenarnya mempunyai nama dan sifatnya yang tersendiri. Dengan keindahan bunganya pelbagai warna yang terdiri daripada merah, kuning, merah jambu, putih, jingga atau ungu, ramai penggiat seni taman menjadikan Portulaca sebagai titik fokal kediaman.

Portulaca adalah tumbuhan sukulen(berkebolehan menyimpan air) sebagaimana kaktus. Maka ia memerlukan persekitaran panas dan tanah yang tidak sentiasa basah untuk hidup subur dan berbunga. Tanaman tutup bumi ini mengeluarkan bunga sepanjang tahun dan boleh membesar antara 4-8inci tinggi sebarannya di tanah sepanjang 2kaki. Secara keseluruhannya, dianggarkan terdapat kira-kira 40-100 spesies yang boleh ditemui di negara-negara bersuhu panas atau beriklim tropika. Antara spesies terkenal yang biasa ditanam ialah Portulaca grandiflora, Portulaca oleraceae, Portulaca All Aglow, Portulaca intraterranea, Portulaca sedifolia, Portulaca bicolor dan Portulaca halimoides.
 
PORTULACA ALL AGLOW HIBRID
PORTULACA GRANDIFLORA
 Sesetengah tempat menganggapnya sebagai rumpai, manakala yang lain menjadikannya sebagai salah satu bahan masakan, sayuran, malah diekstrak minyaknya untuk penghasilan barangan kosmetik terutamanya bagi spesies Portulaca oleraceae atau nama lainnya Purslane. Disebabkan karakter Moss Roses yang memerlukan persekitaran panas untuk tumbuh subur, maka ia sangatlah elok ditanam di 'rock garden', sepanjang laluan pejalan kaki, petak penanaman, berhampiran tempat parkir kereta dan lain-lain yang sesuai. Moss Roses boleh dibiakkan sama ada dengan biji benih atau menggunakan keratan batangnya yang dipatahkan untuk terus ditanam.
Portulaca grandiflora ditanam dalam kelompok besar
PORTULACA OLERACEAE
Portulaca oleraceae dalam hidangan Greek Salad

Portulaca oleraceae/Purslane dimasak sebagai sayuran

Rain Lily


Lili Hujan Putih
Tanaman tutup bumi ini terkenal dengan keunikan bunganya yang pelbagai warna(merah jambu, kuning, putih,etc) dan mempunyai bentuk bunga yang sedikit berbeza antara spesiesnya. Disebabkan cirinya yang tumbuh secara berkelompok dan padat, Rain Lily amat sesuai ditanam menghiasi 'rock garden' serta lapangan tanah yang luas. Zephyranthes candida dalam nama saintifiknya, dikatakan berasal dari Rio de plata, Paraguay dan Chile. Kini tumbuhan ini dikenali dengan beberapa nama seperti Rain Lily, Fairy Lily, Zephyr Lily, August Rain Lily dan Lili Hujan dalam bahasa melayu.

Pada kebiasaannya, Rain Lily mampu tumbuh sehingga ketinggian antara 152-254mm (6-10inci) serta boleh dibiakkan dengan cara belahan bebawang dan juga daripada biji benih. Rain Lily tumbuh dengan paling baik di bawah sinaran matahari penuh atau sedikit sahaja teduh dan dalam medium tanah lembap serta bersaliran baik. Dengan karakter warna daun hijau gelap(biasanya lebar daun 3mm), Rain Lily sememangnya sesuai ditanam di tanah lapang menggantikan rumput bagi menambahkan lagi  suasana tropika lebih-lebih lagi dengan keunikan bunganya yang memukau pandangan apabila kembang.
Rain Lily Kuning

Rain Lily Merah Jambu